BERSATU tidak bercadang untuk menerima kembali ahlinya yang dipecat atau digantung setakat ini, sepertimana dilaksanakan UMNO melalui gagasan Rumah Bangsa.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bekas pemimpin dan ahli terbabit baru saja dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti atas kesalahan yang dilakukan, berbeza dengan UMNO yang membuka semula pintu kepada pemimpin yang sudah lama di luar parti.
Menurut beliau, tambahan pula kesan daripada tindakan yang diambil Lembaga Disiplin Bersatu terhadap bekas ahli dan pemimpin itu belum lagi terasa, berbeza dengan impak yang dirasai bekas ahli dan pemipin UMNO.
“Setakat hari ini, kita kekalkan keputusan begitu (tak akan terima semula) dan kita tidak tahu sama ada ada pihak yang (dikenakan tindakan itu ada) merayu atau tidak.
“Bagaimanapun, jika ada kes tertentu, itu pihak Lembaga Disiplin akan meneliti balik dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) boleh kaji…. tetapi setakat sekarang ini, tidak ada perkara itu timbul,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Selangor dengan tema “Memperkukuh Agenda Peduli Rakyat” di Shah Alam hari ini, lapor BH.
Yang turut hadir, Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Jidin serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor.
Pada Februari lalu, parti itu memecat keahlian 17 pemimpinnya kerana didapati melanggar disiplin parti termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Timbalan Presiden.


