JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang meraih pingat emas acara keirin semalam, menghadiahkan pingat gangsa buat negara dalam acara pecut pada Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional di Nilai, sebentar tadi.
Pingat itu diraih selepas beliau menewaskan wakil AIN (Russia), Nikita Kiriltsev dalam aksi penentuan tempat ketiga menerusi dua perlumbaan berturut-turut.
Di hadapan ribuan penyokong tempatan, Azizulhasni mempamerkan kayuhan penuh bertenaga apabila berjaya memotong Kiriltsev di penghujung perlumbaan untuk melintasi garisan penamat sebagai pemenang.
Terdahulu, pelumba berusia 38 tahun yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman terlepas peluang memburu pingat emas selepas tewas kepada pelumba Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul 2-1 dalam saingan separuh akhir.
Dalam aksi penentuan pingat emas, pelumba Belanda, Harrie Lavreysen muncul juara selepas menundukkan Paul 2-0.
Perlumbaaan di Nilai ini hadir dengan nilai sentimental tersendiri apabila ia berkemungkinan menjadi penampilan terakhir Azizulhasni di laman sendiri dalam kejohanan antarabangsa.


