ISU kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak sepatutnya dijadikan modal politik sehingga menjejaskan peluang pendidikan terutama kepada pelajar yang benar-benar layak.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ini kerana pengambilan pelajar ke IPTA dibuat berdasarkan merit.
“Bagi pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), apa yang kita lakukan dengan sebaiknya iaitu sistem di peringkat Unit Pusat Universiti (UPU) berdasarkan kepada sistem merit.
“Saya ingin menegaskan agar soal peluang pendidikan ini janganlah kita mempolitikkan keterlaluan sehingga asas sebenar, memberi ruang yang sebaik-baiknya kepada seluruh anak-anak (pelajar) tidak diberi perhatian sewajarnya.
”Sebaik-baiknya kita menumpukan peluang pendidikan anak-anak (pelajar) kita itu tetapi kita tidak beri perhatian, malah jadikan ia sebagai isu politik sehingga mengheret pelajar-pelajar yang ada menjadi mangsa kepada sistem yang begini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Anugerah Pendidik Global (GEA) 2026, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di Tanjung Malim hari ini.
Zambry berkata, sepatutnya soal pemilihan berdasarkan sistem merit tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia terbukti berkesan sejak sekian lama.
“Saya harap pada kali ini (kemasukan ke IPTA) dapat diambil perhatian oleh semua pihak. Sekiranya ada masalah mengapa pelajar ini tidak dapat masuk disebabkan keputusan baik, boleh dirujuk kepada pihak UPU.
”Kita di pihak UPU sentiasa terbuka untuk memaklumkan kepada ibu bapa supaya mereka lebih memahami tentang kemasukan pelajar ke IPTA dengan lebih jelas.
“Kita kena ingat bahawa ini adalah peluang untuk anak-anak yang mempunyai impian mereka termasuk ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran mereka. Jadi kita berada di sini adalah berusaha membantu,” katanya.
Beliau berkata, ruang lanjutan pendidikan bukan terhad semata-mata di universiti tetapi dalam program berkemahiran tinggi seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di politeknik seluruh negara.
Katanya, peluang pendidikan yang terbuka luas sedia ada perlu direbut dan diambil peluang oleh pelajar.


