Sindiket sasar golongan terdesak jadi ‘keldai dadah’

GOLONGAN pencari kerja, belia, pelajar serta individu berpendapatan tidak stabil dikenal pasti menjadi sasaran utama sindiket untuk direkrut sebagai ‘keldai dadah’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kumpulan ini lebih mudah dieksploitasi kerana berada dalam keadaan rentan dari segi ekonomi, sosial dan psikologi.

Menurutnya, individu yang terdesak untuk mendapatkan sumber kewangan segera mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat tanpa memerlukan kelayakan khusus.

“Sindiket menggunakan taktik menawarkan kerja sebagai penghantar barangan atau ‘runner’, namun hakikatnya ia membabitkan aktiviti penyeludupan dadah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa golongan belia dan pelajar menjadi sasaran kerana kurang pengalaman hidup serta tahap kesedaran yang rendah terhadap risiko undang-undang.

“Mereka juga mudah dipengaruhi melalui media sosial, termasuk menggunakan taktik penipuan seperti hubungan romantik (love scam) dan tawaran melancong percuma,” katanya.

Tambahnya, sindiket dadah mengeksploitasi kelemahan kumpulan ini melalui manipulasi ekonomi dan emosi, sekali gus menjadikan mereka sebagai perantara dalam rangkaian pengedaran tanpa mendedahkan struktur utama sindiket.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, tidak mudah terpedaya dengan tawaran mencurigakan serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Masyarakat juga perlu faham bahawa alasan ‘tidak tahu kandungan bagasi’ tidak diterima di kebanyakan negara yang mempunyai undang-undang dadah yang tegas, termasuk hukuman mati dan penjara,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img