POLIS menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran pekerjaan antarabangsa secara dalam talian yang menyasarkan warga Sepanyol menerusi serbuan di sebuah banglo yang dijadikan pusat panggilan di Gelang Patah, Iskandar PuterI, minggu lalu.
Dalam serbuan kira-kira jam 11.50 malam pada 14 Mei lalu itu, polis menahan 35 lelaki warga China berusia antara 21 hingga 39 tahun.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan pemantauan selama dua minggu terhadap premis berkenaan.
Menurutnya, sindiket terbabit dipercayai menggunakan aplikasi Telegram untuk berhubung dengan mangsa sebelum menawarkan pelbagai pakej pekerjaan di negara asal mereka.
“Kita tidak menolak kemungkinan sindiket yang dipercayai mula beroperasi sejak Februari lalu itu turut mempunyai rangkaian antarabangsa,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati 33 daripada suspek berperanan sebagai ejen manakala dua lagi bekerja sebagai tukang masak dengan menerima gaji antara RM3,500 hingga RM4,000 sebulan.
Katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan itu dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM65,000.
“Rampasan meliputi 35 unit telefon bimbit, 10 komputer riba, 35 komputer dan 12 modem,” katanya.
Kumarasan berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah selain tidak mempunyai rekod jenayah.
Dalam perkembangan sama, polis kini memburu seorang lelaki warga tempatan dikenali sebagai Muhamad Ling Mohd Adam Ling, 25, yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah sindiket berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.
Menurutnya, semua suspek direman sehingga 28 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut.


