EMPAT orang disahkan terbunuh manakala tujuh lagi masih terperangkap dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta api di Stesen Bekasi Timur, Bekasi, Indonesia malam tadi.
Kemalangan berlaku apabila KRL Komuter Line ya dan Kereta Api Argo Bromo Angrek itu bertembung di stesen tersebut.
Sehingga pukul 2 pagi ini pasukan penyelamat Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) masih meneruskan usaha menyelamatkan mangsa terperangkap.

Ketua Pegawai Eksekutif PT Kereta Api Indonesia (Persero), Bobby Rasyidin, melaporkan masih terdapat sejumlah penumpang yang terperangkap di dalam gerabak kereta.
Kesemua mangsa yang terkorban merupakan penumpang KRL yang terkesan secara langsung akibat perlanggaran kuat antara rangkaian kereta api itu.
Bobby mengesahkan pasukan di lapangan masih bertungkus-lumus mengeluarkan enam hingga tujuh penumpang yang kedudukannya tersepit di antara struktur gerabak. Keadaan lokasi yang sukar menyebabkan petugas terpaksa menggunakan peralatan berat untuk memotong rangkaian kenderaan itu
“Untuk kedudukan mangsa yang masih tersepit di gerabak KRL sehingga malam ini sekitar enam hingga tujuh orang,” kata Bobby dalam kenyataan rasminya.
Beliau menjelaskan bahawa evakuasi secara mekanikal menjadi satu-satunya kaedah bagi mempercepatkan proses menyelamat.
Selain mangsa maut, insiden ini turut menyebabkan 71 individu lain cedera. Ketika ini, mangsa yang cedera sedang menjalani pemerhatian dan rawatan rapi di beberapa hospital berhampiran.


