DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan beliau terbabit dalam pembelian atau pembiayaan hartanah mewah bernilai AS$13 juta (RM52.75 juta).
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menegaskan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan penggunaan syarikat sementara (shell companies), struktur kewangan luar pesisir atau hubungan dengan individu serta entiti yang dinamakan dalam video yang tular adalah rekaan berniat jahat dan tidak berasas.
“Saya tidak pernah membiayai, memudahkan atau dalam apa jua cara sekali pun mengatur transaksi bagi pihak menantu lelaki saya atau mana-mana individu atau entiti lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosmah memberitahu, penyebaran kandungan yang mengelirukan dan tidak bertanggungjawab itu jelas bertujuan untuk menipu orang ramai serta menjejaskan keyakinan terhadap proses undang-undang.
Susulan itu, beliau sudah mengambil tindakan tegas dengan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.
“Memandangkan perkara ini amat serius, saya membuat satu laporan polis pada hari ini supaya pihak berkuasa yang berkaitan dapat menjalankan siasatan menyeluruh dan lengkap terhadap individu serta mana-mana pihak dan akaun berkaitan yang bertanggungjawab mencipta serta menyebarkan bahan palsu, berniat jahat dan memfitnah ini.
“Saya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan kekal komited untuk berbuat demikian,” katanya.
Beliau turut menuntut pengendali platform media sosial terbabit supaya mengambil langkah segera untuk menurunkan, melumpuhkan dan menghalang penyebaran lanjut bahan fitnah berkenaan.
Rosmah menegaskan, beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat pihak yang terus menyebarkan fitnah itu.
“Saya dengan ini mempertahankan semua hak yang ada pada saya di bawah undang-undang termasuk hak untuk memulakan prosiding sivil dan meneruskan prosiding jenayah terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan, menerbitkan semula, berkongsi atau terus menyebarkan dakwaan palsu dan memudaratkan ini.
“Saya menyeru orang ramai dan pihak media untuk bertindak dengan penuh tanggungjawab dan kawalan diri, mengelak daripada memperbesarkan kandungan yang tidak disahkan, palsu dan memfitnah, serta membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mereka tanpa sebarang gangguan atau pengaruh, mengikut proses undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Semalam, seorang ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Daing A Malek Daing Rahaman menafikan sekeras-kerasnya dakwaan di media sosial yang mengaitkannya dengan pembelian sebuah hartanah mewah di New Jersey, Amerika Syarikat.
Dalam kenyataan tersebut, Daing A Malek merujuk kepada dakwaan yang tular bersama satu video di platform media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) yang kemudian disebarkan semula di internet oleh seorang pengguna bernama Mark Lansvin menerusi akaun @lansvin.
Menurut dakwaan berkenaan, Rosmah didakwa mengarahkan serta membiayai pembelian sebuah rumah agam bernilai USD13 juta di Margos Way, New Jersey pada Julai 2025, kawasan yang digelar billionaire’s row.






