”UMNO bukan mahu rampas kuasa’’ – kata Jalaluddin

UMNO Negeri Sembilan menafikan parti itu merancang lebih awal bersama Perikatan Nasional (PN) untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan tindakan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin, bukan kerana mahu merampas pentadbiran negeri.

‘’ Pada awalnya BN bersedia menjadi pembangkang sekiranya lima ADUN PN memilih untuk menyokong PH. Masa itu kita tidak tahu PN mahu bersama kita. BN ada 14 Adun, PN ada lima ADUN, manakala PH ada 17 ADUN. Semalam kita tahu PN mahu mengadakan sidang media. Kalau mereka menyebelahi PH, BN akan menjadi pembangkang.

“Tetapi PN memberi sokongan kepada UMNO-BN bagi meneruskan kerajaan atas prinsip tidak mahu pentadbiran negeri terganggu. Bila ada tawaran, saya bincangkan. Apa salahnya kita terima?” katanya kepada wartawan di Seremban.

Kemelut politik di Negeri Sembilan tercetus apabila BN yang sebelum ini bersama PH di peringkat pusat dan bekerjasama dalam PRN negeri itu membuat keputusan menarik sokongan kepada Aminuddin.

Malam tadi dalam satu kenyataan BN mendakwa mendapat majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan melalui sokongan lima ADUN PN.

Mengulas sokongan itu, Jalaluddin berkata, langkah lima ADUN PN itu menjadikan gabungan BN-PN blok terbesar dengan 19 ADUN, berbanding PH yang kini hanya mempunyai 17 Adun.

Beliau turut menegaskan UMNO  terbuka menerima sokongan mana-mana pihak, termasuk ADUN PH.

“Siapa mahu sokong, takkan saya tidak benarkan. Kalau PH mahu sokong saya sekarang pun, saya okey, saya terima,” katanya.

 Jalaluddin turut menegaskan apa yang dilakukan bukan bertujuan merampas kuasa, sebaliknya sebagai bantahan terhadap tindakan Aminuddin yang didakwa mencampuri urusan institusi raja dan adat Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, beliau berkata UMNO  menyerahkan sepenuhnya kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, untuk menyelesaikan kemelut pentadbiran negeri selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Saya bersedia pada bila-bila masa untuk dipanggil menghadap, dan saya juga bersedia menerima sebarang keputusan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img