SIASATAN berhubung hantaran jelik memaparkan suntingan gambar menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kini diambil alih sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kes berkenaan pada peringkat awal disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sebelum diambil alih pihak Bukit Aman.
“Laporan-laporan polis sudah diterima berkaitan insiden itu dan kertas siasatan telah dibuka.
“Tetapi memandangkan kepada darjah keseriusan kes ini, pihak Bukit Aman mengambil alih siasatan itu yang sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya dalam sidang media Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di IPK Selangor, hari ini.
Beliau berkata, sebarang ulasan lanjut berhubung kes itu wajar dirujuk kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bagi mengelakkan percanggahan pendapat dan fakta.
Terdahulu, Ahli Dewan Diraja Selangor, Salehuddin Saidin menggesa Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera terhadap tindakan tidak bertanggungjawab itu.
Ahli Dewan di-Raja Selangor, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pihaknya kesal dan mengecam sekeras-kerasnya ke atas hantaran jelik dan tidak bertanggungjawab oleh pemegang akaun sosial yang secara terang-terangan memaparkan suntingan gambar yang menghina Sultan Selangor, yang dikaitkan dengan isu penternakan khinzir di Negeri Selangor.


