SEORANG lelaki maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal di Jambatan Muhibbah, Jalan Pelabuhan Barat, Klang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.45 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa, lelaki Melayu berusia 37 tahun, menunggang motosikal dari arah Pelabuhan Barat menuju ke Shah Alam.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas dan terjatuh di atas jalan raya.
“Mangsa kemudiannya digilis oleh sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat atau Balai Polis Trafik Klang Selatan.


