PEMERGIAN seorang pegawai imigresen dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini memberi kesan mendalam kepada seluruh warga jabatan, sekali gus mengingatkan kepentingan kebajikan penjawat awam terus dipelihara.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Azman Mazni yang meninggal dunia pada 25 April lalu ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
“Allahyarham bukan sahaja seorang suami, ayah dan anak yang dikasihi, malah sebahagian daripada keluarga besar JIM. Kehilangan ini amat dirasai,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, JIM menegaskan bahawa aspek kebajikan warga kerja sentiasa menjadi keutamaan, termasuk dalam urusan penempatan dan pertukaran pegawai yang dibuat berdasarkan keperluan perkhidmatan serta keseimbangan operasi.
Sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak 2,860 permohonan pertukaran diterima dengan 1,332 pegawai berjaya ditukarkan, mengambil kira faktor kebajikan dan keperluan jabatan.
Beliau turut memaklumkan Allahyarham pernah mengemukakan permohonan pertukaran melalui saluran rasmi, dengan permohonan terakhir pada Ogos 2025 yang masih dalam pertimbangan.
“Dalam saat penuh duka ini, keutamaan kami adalah memberikan sokongan kepada keluarga Allahyarham serta memastikan kebajikan warga kerja terus diberi perhatian,” katanya.


