Yoshinari sekat kebangkitan Jojo di pentas ONE Samurai 1

PERJALANAN cemerlang jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar terhenti apabila dia terpaksa akur dengan kehebatan wakil Jepun, Shimon Yoshinari yang meraih kemenangan menerusi keputusan sebulat suara dalam kejohanan ONE Samurai 1 di Ariake Arena di Tokyo sebentar tadi.

Dalam pertarungan kelas flyweight itu, Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo memilih gaya lebih berhemah dengan memberi tumpuan kepada kawalan pergerakan dan menyusun serangan secara berperingkat sepanjang tiga pusingan berlangsung.

Aksi awal memperlihatkan kedua-dua petarung tidak tergesa-gesa, masing-masing cuba membaca corak lawan. Jojo lebih banyak mengelak dan menyerap asakan tanpa membuka ruang besar, menjadikan perlawanan tampak seimbang.

Rentak berubah pada pusingan kedua apabila Jojo mula meningkatkan tekanan. Dia tampil lebih berani melancarkan kombinasi serangan dan beberapa percubaannya berjaya menggugat pertahanan Yoshinari, termasuk menjatuhkan lawan serta menyebabkan kecederaan di bahagian kepala.

Namun, kelebihan itu tidak berpanjangan. Memasuki pusingan terakhir, Jojo gagal mengekalkan intensiti sama, selain dilihat sukar mengawal jarak pertarungan.

Situasi tersebut dimanfaatkan Yoshinari yang kekal tenang dan menggunakan pengalaman untuk mengambil alih perlawanan. Serangan balas yang lebih kemas dan konsisten memaksa Jojo bertahan sehingga penghujung aksi.

Akhirnya, tekanan berterusan daripada petarung tuan rumah meyakinkan juri untuk memberikan kemenangan penuh kepadanya sebaik loceng penamat dibunyikan.

Keputusan itu sekali gus menamatkan rentak positif Jojo selepas kejayaannya menewaskan wakil Myanmar, Ye Yint Naung sebelum ini.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img