Awas iklan palsu pengeluaran lesen kenderaan percuma – JPJ

JABATAN Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menafikan pengeluaran lesen kenderaan percuma yang dikesan tular dalam platform media sosial termasuk Threads.

Menurut jabatan itu, pihaknya menerima aduan berhubung penyebaran iklan palsu berkaitan tawaran lesen kenderaan percuma yang dikesan tular di platform media sosial.

JPJ turut menegaskan bahawa iklan berkenaan adalah tidak sah dan palsu.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terperdaya dengan sebarang promosi yang ditawarkan melalui akaun atau platform yang meragukan bagi mengelakkan kekeliruan serta risiko kerugian.

“Orang ramai juga diingatkan tidak keliru dengan inisiatif Program MyLesen B2. Sesi permohonan program itu telah ditutup, dan individu yang berjaya terpilih dihubungi untuk mendaftar di institut memandu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPJ berkata, sebarang pemakluman rasmi berkaitan perkhidmatan JPJ hanya akan disalurkan melalui Facebook rasmi JPJ Ibu Pejabat dan JPJ Negeri, dan tidak membabitkan mana-mana akaun tidak rasmi jabatan.

Menurutnya, orang ramai digalakkan untuk sentiasa mendapatkan pengesahan daripada saluran rasmi JPJ sebelum mempercayai atau berkongsi sebarang maklumat.

“Sebarang aduan atau maklumat lanjut boleh disalurkan melalui Portal Aduan Rasmi JPJ di pautan berikut https://jpj.spab.gov.my/

“JPJ komited untuk terus memastikan penyampaian maklumat yang sahih serta melindungi kepentingan pengguna daripada sebarang bentuk penipuan,” kata kenyataan itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img