SEORANG pengawal keselamatan maut selepas motosikal dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 67.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di Pendang, malam tadi.
Dalam kejadian itu, Saidun Mat Dan@Saadan, 55, dari Kampung Tok Sabil, Mukim Tajar, Langgar meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Pendang Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, anggota polis yang bertugas di Balai Polis Trafik Pendang menerima panggilan pada 10.50 malam dari Bilik Gerakan (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang memaklumkan satu kemalangan melibatkan dua motosikal dengan sebuah kereta.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 10.20 malam ketika motosikal yang ditunggangi penuntut sebuah universiti awam berusia 24 tahun dari Sungai Petani dalam perjalanan ke Sintok dipercayai bergesel dengan motosikal ditunggang mangsa.
“Kejadian itu menyebabkan motosikal yang ditunggang penuntut lelaki tersebut hilang kawalan sebelum melanggar pula kereta yang parkir di lorong kecemasan.
“Akibat kejadian itu, penuntut lelaki itu mengalami luka di muka dan dihantar ke wad kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut, ” katanya.
Rodzi berkata, mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Jabatan Forensik HSB di Alor Setar untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Pemandu kereta Proton Satria berusia 49 tahun yang bekerja sebagai operator kilang itu tidak mengalami kecederaan, ” katanya.


