SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang di Bukit Mertajam hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 pagi berhubung kejadian itu berhampiran sebuah stesen minyak di Permatang Batu.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda bersama bantuan dari Bukit Mertajam tiba di lokasi kira-kira jam 6.18 pagi.
“Sebaik tiba, didapati sebuah Perodua Myvi terbabas dari jalan sebelum terjunam ke dalam longkang dengan pemandu tersepit di dalam kenderaan,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu.
“Mangsa yang berusia 57 tahun berjaya dikeluarkan pada jam 7.24 pagi, namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya.
SEMENTARA ITU di Sungai Petani, seorang warga emas berusia 84 tahun dikhuatiri lemas di kawasan sungai di Kampung Masjid, Tikam Batu, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu Fauzi Shuaib berkata, pihaknya menerima panggilan untuk bantuan pada 8.56 pagi.
Menurutnya, bertindak daripada laporan polis yang dibuat oleh waris dengan menyatakan lelaki warga emas itu disyaki lemas berdasarkan barangan peribadi yang dijumpai di tebing sungai.
“Operasi pencarian diketuai oleh Pegawai Zon 2 JBPM Kedah Bryan Del Bungkias bersama lapan anggota BBP Tikam Batu. Mangsa dikenali sebagai Mohd Khalid @ Halim Salleh, 84 tahun.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah seramai enam anggota tiba di tempat kejadian untuk melakukan operasi pencarian, ” katanya.
Fauzi berkata, operasi pencarian mangsa sedang dilakukan di lokasi.


