PASANGAN warga emas yang direman dalam kes kematian pelajar kolej wanita dengan 61 kesan tikaman, dibebaskan dengan jaminan polis.
“Pasangan warga emas itu sudah dilepaskan dengan jaminan polis hari ini dan kita fokuskan siasatan terhadap dua remaja berusia 19 tahun,” kata Ketua Polis Kota Bharu, Azmir Damiri lapor Berita Harian.
Difahamkan, pasangan warga emas berusia 60 dan 66 tahun itu adalah ibu bapa kepada salah seorang suspek terbabit.
Semalam, pasangan itu direman tiga hari, manakala dua remaja lelaki berusia 19 tahun direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa ditemui di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh, pada 12.30 tengah malam dengan 61 kesan tikaman di seluruh badannya.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, identiti mangsa dikenal pasti sebagai Nurfisya Zulkifly, 19, berdasarkan semakan cap jari Jabatan Pendaftaran Negara.
Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain, sebelum mayatnya dibuang di lokasi lain.
Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.


