POLIS menahan empat lelaki tempatan dalam satu operasi khas samseng jalanan yang dijalankan di sekitar Jalan Bypass, Port Dickson, malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Ruslan Mat Kib berkata, kesemua lelaki berusia antara 21 hingga 33 tahun terlibat didapati menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.
“Operasi yang melibatkan seramai 27 anggota termasuk tiga pegawai kanan polis memberi tumpuan kepada penunggang motosikal yang melakukan kesalahan lalu lintas serta aktiviti samseng jalanan.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 264 motosikal dan 279 individu telah diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Ruslan berkata, hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dikesan, termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans, ubah suai ekzos serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Katanya, sebanyak 271 saman dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam operasi sama, 15 motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 akta sama bagi pemeriksaan lanjut.
“Hasil semakan mendapati semua motosikal yang disita tidak mempunyai rekod kehilangan dan tidak melibatkan individu dikehendaki,” katanya.
Beliau berkata, empat lelaki yang ditahan bersama motosikal masing-masing turut disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, polis akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti samseng jalanan selain meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.


