KESUMA umum cuti Hari Wesak, Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong

KERAJAAN bersetuju memberi kelepasan am sempena Hari Wesak dan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, masing-masing pada 31 Mei dan 1 Jun.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan, Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong adalah antara lima hari kelepasan am wajib, yang perlu diberi kepada pekerja oleh majikan sektor swasta di Semenanjung Malaysia, termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Kata kementerian itu, peruntukan mengikut Akta Kerja 1955 itu menetapkan cuti berkenaan tidak boleh diganti pada hari lain.

Sementara itu, KESUMA berkata, Hari Wesak pula adalah hari kelepasan am berbayar yang boleh dipilih majikan, bagi melengkapkan enam hari kelepasan am berbayar yang perlu diberi kepada pekerja.

“Sekiranya hari kelepasan am jatuh pada hari rehat mingguan atau mana-mana cuti yang ditetapkan, maka hari bekerja berikutnya perlu dijadikan hari kelepasan am gantian berbayar,” katanya.

Sehubungan itu, majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat mingguan dan memilih Hari Wesak sebagai cuti umum, mereka perlu memberikan 1 Jun (Isnin) sebagai cuti Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh diganti serta 2 Jun 2026 (Selasa) sebagai cuti gantian bagi Hari Wesak.

Bagaimanapun, cuti gantian itu boleh ditukar kepada hari lain dengan persetujuan pekerja selaras peruntukan undang-undang.

Sementara itu, pekerja yang menerima gaji RM4,000 ke bawah atau yang tertakluk mengikut Jadual Pertama Akta Kerja 1955 dan diarahkan bekerja pada hari kelepasan am, layak menerima bayaran mengikut kadar ditetapkan.

KESUMA berkata, majikan perlu mematuhi ketetapan undang-undang bagi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img