PELABURAN Google bernilai AS$15 bilion (RM61.1 bilion) di Malaysia dijangka membuka lebih 9,000 peluang pekerjaan tempatan secara berterusan setiap tahun apabila kampus pusat data baharunya mula beroperasi, dengan tawaran gaji purata 45 peratus lebih tinggi berbanding median nasional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan itu turut menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan tempatan setahun sepanjang tempoh pembinaan kampus berkenaan, sekali gus memberi ruang kepada rakyat menceburi bidang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Beliau berkata, pelaburan langsung asing (FDI) berskala besar penting kepada pembangunan ekonomi negara kerana bukan sahaja menyediakan modal untuk pengembangan ekonomi, malah membangunkan aset fizikal berteknologi tinggi dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam revolusi kecerdasan buatan (AI) global.
“Pelaburan langsung asing amat penting kepada pembangunan ekonomi Malaysia. Aliran masuk modal dalam skala besar menyediakan sumber penting untuk pengembangan ekonomi makro, membangunkan aset fizikal berteknologi tinggi serta mengukuhkan kedudukan negara di barisan hadapan revolusi kecerdasan buatan global,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada program Mantap Malaysia Bersama AI di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya di Kuala Lumpur hari ini.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menurut Anwar, kerajaan mahu memastikan setiap pelaburan asing yang dibawa masuk ke negara ini menyokong aspirasi pembangunan nasional, termasuk memperkukuh industri tempatan, membangunkan modal insan serta memastikan pengurusan tenaga dan sumber asli dilaksanakan secara bertanggungjawab.
“Dalam Ekonomi MADANI, kita tidak mengukur kejayaan berdasarkan tajuk utama berita semata-mata, sebaliknya melalui kemampuan bakat muda terbaik kita memperoleh pendapatan yang sewajarnya dan berdiri dengan penuh keyakinan di pentas global,” katanya.
Pelaburan Google yang dirancang bagi tempoh 2027 hingga 2028 itu merangkumi pembangunan infrastruktur digital serta peluasan kampus pusat data, termasuk kampus pertamanya di Elmina Business Park, Selangor, yang kini beroperasi, selain pembangunan kampus baharu di Selangor dan Negeri Sembilan.
Bagi fasa pembinaan kampus baharu, pelaburan itu diunjurkan menyumbang purata AS$1.1 bilion (RM4.48 bilion) setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, selain menjana purata pendapatan buruh tahunan sebanyak AS$378 juta (RM1.54 bilion).
Daripada lebih 37,000 pekerjaan tempatan yang disokong setiap tahun dalam tempoh berkenaan, kira-kira 6,000 daripadanya dijangka melibatkan sektor pembinaan.
Apabila kampus itu beroperasi kelak, peluang pekerjaan yang diwujudkan termasuk jawatan khusus seperti juruteknik pusat data, jurutera mekanikal dan elektrikal serta pengurus operasi logistik.
Impak pelaburan itu turut melibatkan lebih 80 entiti tempatan yang bekerjasama dengan Google dalam rantaian bekalannya, merangkumi sektor pembinaan, kejuruteraan awam, rangkaian, sistem kuasa, penyejukan, logistik, perundangan, katering dan pengurusan sisa.
Anwar berkata, kerjasama itu membuktikan kemampuan syarikat tempatan memenuhi keperluan pelaburan bertaraf antarabangsa, selain membuka peluang kepada firma tempatan meningkatkan kepakaran dan daya saing.
“Apabila modal asing bertemu keupayaan global, syarikat tempatan bukan sekadar mengambil bahagian, malah meningkatkan keupayaan mereka dan membuat persediaan untuk bersaing di peringkat global,” katanya.





