SEORANG lelaki disyaki membunuh wanita warga emas dalam kejadian di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, Ipoh, malam tadi, dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika melakukan perbuatan itu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek berusia 52 tahun itu ditemukan dalam keadaan mabuk selain polis turut menemui beberapa tin minuman beralkohol di lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal juga mendapati suspek pernah mendapatkan rawatan psikiatri sebelum ini.
“Siasatan awal mendapati suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian, selain pemeriksaan di lokasi turut menemukan beberapa tin bir.
“Motif kejadian masih disiasat, walaupun berjiran mereka tidak rapat kerana tinggal berlainan lorong dengan jarak kira-kira 50 meter antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran ‘Module On The Current Trends Of Commercial Crimes’ sempena Karnival Pintar Siber UTP 2026 di Dewan Canselor, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar, hari ini.
Terdahulu, mangsa wanita berusia 70 tahun ditemui maut dengan kesan kecederaan pada badan, kepala dan leher dipercayai akibat ditetak.
Polis menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 10 malam daripada anak mangsa sebelum bergegas ke lokasi.
Pemeriksaan lanjut turut menemui sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah dilaporkan berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 4.45 petang hingga 10 malam, iaitu tempoh terakhir mangsa dilihat keluar rumah sebelum ditemui maut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Noor Hisam berkata, sampel darah suspek telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut, selain polis sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan.
Beliau turut memaklumkan suspek pernah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan berdasarkan rekod rawatan yang ditemui bersamanya.


