TINDAKAN dua anggota Polis Republik Indonesia (Polri) mencetuskan kontroversi apabila didakwa cuba meminta wang daripada pelancong asing dalam satu kejadian yang tular di media sosial baru-baru ini.
Tribunnews melaporkan berdasarkan maklumat yang tersebar, kejadian itu berlaku di Simpang Semer, Kerobokan, Kuta Utara, Bali pada Mac 2026, apabila dua pelancong asing ditahan kerana tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.
Menurut rakaman video yang dikongsikan di platform Instagram, anggota polis terbabit didakwa meminta bayaran sebanyak Rp500,000 (kira-kira RM140–RM150) seorang dengan alasan ia merupakan bayaran rasmi kepada pihak kerajaan.
Namun, pelancong berkenaan memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai wang tunai mencukupi dan hanya memiliki kira-kira Rp200,000 (sekitar RM55–RM60) serta kad pembayaran.
Situasi tersebut berubah apabila anggota polis menyedari tindakan mereka dirakam. Mereka kemudiannya membenarkan pelancong berkenaan beredar dengan hanya memberikan amaran.
Insiden itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang mempersoalkan integriti penguat kuasa serta prosedur sebenar pengeluaran saman terhadap pelanggaran trafik.
Ketua Polis Daerah Badung, Asisten Komisioner Joseph Edward Purba meminta maaf atas tindakan dua anggota polis tersebut.


