TINDAKAN seorang warga Bangladesh memiliki dan menggunakan dua Mykad milik orang lain untuk membeli petrol bersubsidi bulan lalu mengakibatkan atendan stesen minyak itu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Aina Azahra Ariffin selepas Jakir Hossain, 51 mengaku salah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Aina mengenakan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Beliau turut memerintahkan Jakir menjalani hukuman penjara tujuh bulan bagi setiap kesalahan, sekiranya gagal membayar denda.
Dia didakwa memiliki dan menggunakan MyKad milik Lim Mei Cheow dan Yap Thin Wuei di sebuah stesen Shell di Jalan Pahang, Wangsa Maju tanpa kuasa sah atau alasan munasabah, bagi membeli petrol bersubsidi.
Kesalahan itu dilakukan antara 8 April hingga 22 April.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh manakala tertuduh diwakili peguam Carmen Low.


