ARSENAL melakar sejarah tersendiri apabila menewaskan Atletico Madrid 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara (UCL) di Stadium Emirates, sekali gus mengesahkan tempat ke pentas final buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
Jaringan tunggal perlawanan disempurnakan oleh Bukayo Saka pada penghujung separuh masa pertama, sekali gus meletakkan skuad The Gunners di hadapan dalam perlawanan yang penuh sengit itu.
Anak buah Mikel Arteta bermula garang dengan corak permainan menyerang dan tersusun, berjaya menguasai tempo permainan sejak awal wisel dibunyikan.
Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila Saka memanfaatkan ruang di bahagian sayap menyudahkan percubaan Leandro Trossard sebelum melepaskan rembatan kemas yang menewaskan penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak.
Bagaimanapun, pemain sayap England itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-60 akibat faktor taktikal, selepas memberikan sumbangan besar kepada pasukan menerusi jaringan penting tersebut.
Memasuki babak kedua, Atletico Madrid meningkatkan intensiti permainan dalam usaha mencari gol penyamaan, namun Arsenal kekal kental di bahagian pertahanan.
Penjaga gol Arsenal, David Raya muncul wira di benteng terakhir apabila beberapa kali melakukan aksi menyelamat penting untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi.
Walaupun diasak bertubi-tubi terutama di penghujung permainan, Arsenal menunjukkan disiplin tinggi untuk mempertahankan kelebihan 1-0 sehingga wisel penamat.
Kemenangan ini amat bermakna buat Arsenal yang kali terakhir beraksi di final UCL pada tahun 2006, menjadikan pencapaian ini sebagai satu kebangkitan semula di pentas Eropah.
Arteta memuji komitmen pemainnya yang kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan walaupun berdepan tekanan hebat daripada pasukan lawan.
Dalam masa sama, Saka terus diangkat sebagai wira perlawanan hasil jaringan tunggalnya yang menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.
Sorakan penyokong di Stadium Emirates sejurus tamat perlawanan menggambarkan betapa besar makna kejayaan ini kepada kelab dan peminat setia mereka.
Kini, Arsenal hanya selangkah lagi untuk mencipta sejarah dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah kelab malah pasukan itu belum pernah tewas sepanjang kempen UCL.


