BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan mencabar tiga pertuduhan berkaitan pelupusan aset Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai lebih RM860.3 juta yang dihadapinya.
Peguamnya, Datuk Hamidi Mohd Noh berkata, pihak pembelaan juga akan memfailkan beberapa permohonan, termasuk berkaitan pasport tertuduh selepas meneliti dokumen yang diserahkan pihak pendakwaan.
“Kami akan memfailkan beberapa permohonan termasuk untuk mencabar pertuduhan yang dihadapi anak guam,” katanya ketika prosiding sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan satu jilid dokumen kepada pembelaan dan memerlukan masa untuk melengkapkan penyerahan baki dokumen, termasuk rekod perbankan.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan 14 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Dalam prosiding sama, Hamidi turut membangkitkan kebimbangan terhadap komen dan spekulasi orang awam di media sosial yang didakwa berpotensi menjejaskan perjalanan kes.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa akaun media sosial yang berpotensi dirujuk kepada mahkamah berhubung isu subjudis.
“Orang awam perlu faham bahawa sebarang keputusan akan dibuat oleh mahkamah, bukan melalui perbicaraan di media sosial.
“Kami telahpun mengenal pasti akaun-akaun tertentu yang berpotensi dibawa ke mahkamah untuk dirujuk sebagai subjudis yang mana ia berisiko dikenakan tindakan menghina mahkamah.
“Orang ramai perlu ada rasa hormat, perlu ada pematuhan dan kesedaran bahawa anak guam kami telah didakwa di mahkamah dan sebarang perbincangan luar akan menyebabkan subjudis,” ujarnya.
Nidzuwan turut menyatakan pihak pendakwaan mempunyai pendirian sama berhubung isu berkenaan.
Jamil Khir berdepan tiga pertuduhan menyebabkan TH melupuskan aset berjumlah RM860,308,770.51, bersamaan SAR766,062,237, kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd antara 2015 hingga 2017.
Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa menyebabkan pelupusan wang berjumlah RM42,942,074, bersamaan SAR44.17 juta.
Pertuduhan kedua membabitkan RM288,172,134.64, bersamaan SAR250,041,622, manakala pertuduhan ketiga melibatkan RM529,194,561.87, bersamaan SAR471,848,615.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabatnya di Bahagian Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kompleks Islam Putrajaya, masing-masing pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.





