TINDAKAN seorang lelaki melarikan diri daripada arahan polis membawa padah apabila mencetuskan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ampang, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, insiden sebenar berlaku kira-kira jam 6.15 petang dari arah Ampang menghala ke KLCC, berhadapan Hospital Gleneagles.
“Kejadian berpunca daripada tindakan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang memandu Perodua Bezza gagal berhenti selepas diarahkan pasukan MPV Ampang.
“Suspek kemudian melarikan diri sehingga mencetuskan kejar-mengejar bermula dari Pandan Indah sebelum berakhir di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebaik tiba di Jalan Ampang, suspek dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar dua kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.
“Kenderaan terlibat ialah Perodua Aruz dipandu wanita berusia 42 tahun dan sebuah lagi Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 35 tahun.
“Kemalangan itu bagaimanapun hanya menyebabkan kerosakan tanpa sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.
Menurutnya, suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian oleh anggota MPV Ampang.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek disyaki memiliki dadah jenis pil yaba seberat 4.7 gram.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Ampang bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, kemalangan itu disahkan berpunca daripada kegagalan suspek mematuhi arahan berhenti oleh pihak polis sehingga mencetuskan kejar-mengejar dan pelanggaran.


