SEORANG pengendali Pondok Pesantren Ndholo Kusumo di Desa Tlogosari, Pati, Jawa Tengah, Indonesia, dikenali sebagai Kiai Ashari, didakwa mencabul sehingga 50 orang mangsa dalam kalangan pelajar perempuan.
Bagaimanapun sehingga hari ini Ashari belum ditangkap selepas dilaporkan tidak hadir memenuhi panggilan pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kota (Polresta) Pati. Dalam masa sama, timbul khabar angin dia dipercayai telah melarikan diri .
Peguam mewakili mangsa, Ali Yusron, memaklumkan jumlah mangsa sebenar berkemungkinan mencecah antara 30 hingga 50 orang. Menurut beliau, kebanyakan mangsa datang daripada latar belakang rentan termasuk anak yatim piatu serta keluarga kurang berkemampuan.
Beliau turut menyifatkan kes ini sebagai “fenomena gunung ais”, di mana seorang mangsa yang tampil bersuara berpotensi membuka pendedahan kepada lebih ramai mangsa lain.
Sementara itu, pihak polis membuka ruang seluas-luasnya kepada mana-mana mangsa lain untuk tampil membuat laporan. Jaminan kerahsiaan turut diberikan bagi menggalakkan lebih ramai tampil memberi keterangan sekali gus mengukuhkan tindakan undang-undang terhadap suspek.
Ketua Siasatan Jenayah Polis Daerah Pati, Kompol Dika Hadiyan Widya Wiratama, berkata semakin ramai mangsa tampil memberi keterangan, semakin berat implikasi undang-undang yang bakal dihadapi suspek.
Dalam perkembangan sama, pihak polis setakat ini hanya mengenal pasti lima mangsa. Namun, tiga daripadanya telah menarik balik keterangan, menjadikan hanya dua mangsa yang kini menyokong proses siasatan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penarikan balik keterangan tidak akan menjejaskan siasatan kerana kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes jenayah umum, bukan kes aduan, dan tindakan undang-undang tetap akan diteruskan.


