TINDAKAN seorang penjual kuih menjadikan aplikasi Telegram sebagai platform menjual video lucah demi mengaut keuntungan memakan diri apabila didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Ahmad Fuad Othman terhadap Branley Mohd Tahar, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan menghantar video sumbang dan lucah bagi tujuan komersial menggunakan media sosial, dua tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara sedar menggunakan aplikasi Telegram untuk memberikan akses kepada kumpulan yang mengandungi video lucah bagi tujuan komersial.
Dia didakwa menjual kandungan itu kepada ejen penyamaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui akaun Telegram miliknya dengan bayaran RM150 pada 22 Julai 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika menjatuhkan hukuman, Ahmad Fuad berkata, perbuatan tertuduh jelas melanggar prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Menurutnya, tindakan tertuduh memberi kesan negatif kepada masyarakat selain bertentangan dengan nilai agama Islam.
“Kamu (Branley) dah langgar dua Rukun Negara, yang mana ia adalah ‘core foundation in our country’ (teras dalam negara).
“Jangan guna media sosial untuk merosakkan moral orang awam dan keharmonian negara,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC, Mohamad Azmir Mohd Razali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Branley merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya membantu ibunya menjual kuih selain menjadi tulang belakang keluarga.
“Saya hanya membantu ibu menjual kuih dan menjadi tulang belakang keluarga kerana adik beradik yang lain tinggal jauh. Saya dah insaf Yang Arif,” katanya yang kelihatan sugul.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan kerana kesalahan dilakukan serius dan bermotifkan keuntungan, malah tertuduh dipercayai pernah menjana pendapatan sehingga RM33,000 melalui kegiatan itu.


