POLIS meminta orang ramai menghentikan sebarang spekulasi berhubung video tular di TikTok berkaitan perobohan rumah dan tanaman milik penduduk Orang Asli di kawasan ladang sawit Kampung Sijar, Mukim Penyor, Pekan.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, orang awam dinasihatkan merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan atau andaian berhubung kejadian itu.
Menurutnya, pihak polis mengesan satu hantaran video pada 5 Mei lalu yang memaparkan rumah kebun serta pokok buah-buahan di kawasan terbabit dirobohkan menggunakan jentera berat.
“Hantaran itu disertakan naratif yang menggambarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terbabit dalam kejadian perobohan itu.
“Bagaimanapun, kehadiran pihak polis di lokasi itu hanyalah sebagai pemantau bagi memastikan keadaan terkawal dan tidak berlaku sebarang insiden tidak diingini,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mohd Zaidi berkata, kerja perobohan dilakukan pekerja Syarikat SRS Makmur Sdn Bhd pada 4 Mei lalu bermula jam 10 pagi hingga 1.30 tengah hari.
Katanya, pihak pemaju mendakwa beberapa penduduk Orang Asli membina rumah kebun serta menanam pokok buah-buahan secara haram di kawasan berkenaan.
“Tanah seluas 550 ekar milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang itu telah diluluskan kepada syarikat terbabit bagi tujuan tanaman sawit sejak 2017.
“Pihak pemaju juga telah menghantar surat pemakluman kepada IPD Pekan, Pejabat Daerah dan Tanah Pekan serta Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) sebelum operasi pemutihan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, satu pasukan pegawai dan anggota polis ditempatkan di lokasi terbabit bagi memastikan keadaan terkawal sepanjang operasi dijalankan.
“Kehadiran pihak polis bukannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan ianya bertujuan untuk memastikan keadaan terkawal dan tenteram,” ujarnya.


