SEORANG mudir madrasah bersama dua anak lelakinya didenda Mahkamah Syariah Muar selepas mengaku bersalah mengingkari arahan pihak berkuasa agama berhubung penetapan tarikh permulaan puasa 1 Ramadan, Februari lalu.
Tertuduh, Ambiah Bunanjin, 68, didenda RM5,000 selepas berdepan dua pertuduhan, manakala anak lelakinya, Abdul Qodir Jailani, 29, dan Muhammad Idris, 25, masing-masing didenda RM2,500 atas pertuduhan bersubahat menyebarkan kenyataan mengenai permulaan puasa.
Hakim Syarie Mohamad Fadzil Esa turut memerintahkan Ambiah dipenjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda, manakala dua anaknya dipenjara setahun jika gagal menjelaskan denda dikenakan.
Mengikut pertuduhan, Ambiah didakwa mengingkari pihak berkuasa agama dengan mengetuai upacara melihat anak bulan serta enggan mematuhi arahan berpuasa pada tarikh ditetapkan iaitu 19 Februari lalu bersamaan 1 Ramadan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pantai Parit Penyengat dan sebuah madrasah di daerah ini pada 18 dan 19 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.
Sementara itu, Abdul Qodir Jailani dan Muhammad Idris pula didakwa mengikut Seksyen 43(A) enakmen sama kerana bersubahat dengan bapa mereka menyebarkan kenyataan mengenai permulaan puasa.
Berdasarkan fakta kes, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerima maklumat terdapat individu mula berpuasa pada 20 Februari lalu selepas mendakwa melihat anak bulan sendiri pada 18 Februari.
Siasatan mendapati Ambiah bersama beberapa anak murid dan orang awam pergi ke Pantai Parit Penyengat untuk melihat anak bulan sebelum memutuskan untuk mula berpuasa pada tarikh berbeza (20 Febuari) daripada pengisytiharan rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Ambiah yang juga pengendali kumpulan WhatsApp kemudian menyebarkan mesej itu kepada 72 ahli kumpulan sebelum ia turut dikongsi orang awam sehingga mencetuskan aduan kepada JAINJ.
Susulan itu, penguat kuasa JAINJ menahan ketiga-tiga tertuduh untuk membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhammad Lutfi Md Latif dan Azry Ismail Hassan manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam penghakimannya, Mohamad Fadzil menegaskan kesalahan itu adalah berat yang tidak sepatutnya berlaku di negeri ini yang mempunyai sultan sebagai ketua agama.
“Jangan cuba tidak mengada-adakan hukum sendiri dengan membelakangi mufti dan sultan. Tertuduh sepatut mematuhi pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai permulaan 1 Ramadan,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan madrasah berkenaan dipantau rapi oleh JAINJ selain mengarahkan ketiga-tiga tertuduh serta pengikut mereka menjalani sesi bimbingan dan pemulihan.


