SEORANG pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas 11 pertuduhan termasuk menipu syarikat UMW Corporations Sdn Bhd membabitkan tanah seluas lapan ekar serta pengubahan wang haram lebih RM3.7 juta.
Tertuduh, A Rama Rao, 65, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga Pengarah RV Global Sdn Bhd didakwa secara curang memperdayakan UMW Corporations Sdn Bhd pada 18 Julai 2007 dengan mendakwa dirinya mewakili 136 bekas pekerja Ladang Serendah sehingga syarikat itu menyerahkan tanah seluas lapan ekar.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan 10 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Bagi dua pertuduhan, dia didakwa terbabit secara langsung dalam pemindahan tanah kepada kerajaan Malaysia yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram.
Manakala lapan lagi pertuduhan membabitkan pemindahan wang hasil aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM3,708,605.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri manakala tertuduh diwakili peguam Teeruvarasu K Muthusamy.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin.
Hakim turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di Pejabat SPRM Selangor setiap bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


