Kenyataan Onn Hafiz lenyapkan spekulasi PRN tiga negeri

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazali menutup spekulasi berkaitan pilihan raya negeri (PRN) tiga negeri apabila menegaskan DUN negeri itu tidak akan dibubarkan hari ini.

Ketika menggulung perbahasan Sidang DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di Iskandar Puteri, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap menyeru semua ADUN supaya bertenang berhubung spekulasi PRN.

“Ada desas-desus mengatakan PRN akan diadakan dalam masa terdekat, dengan pelbagai spekulasi timbul. Bagi menjawab spekulasi itu, pada hari ini, 7 Mei, saya ingin mengumumkan bahawa DUN Johor tidak akan dibubarkan hari ini.

“Jangan risau mengenai PRN Johor, sebaliknya teruskan berkhidmat kepada rakyat. Tumpuan kini adalah kepada pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif,” katanya.

Tahun lalu, Onn Hafiz turut menegaskan bahawa PRN Johor tidak akan diadakan lebih awal memandangkan kerajaan negeri masih mempunyai tempoh untuk memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan infrastruktur demi manfaat rakyat.

Sebelum ini nama negeri Johor yang akan tamat tempoh DUN pada April 2027 turut disebut-sebut mungkin terlibat dalam PRN serentak Melaka dan Negeri Sembilan.

Dari segi keputusan pilihan raya sebelum ini di Johor,  BN memperoleh majoriti dua pertiga dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (12), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu)..

Di Melaka, BN menang 21 daripada 28 kerusi DUN, PH (5), Perikatan Nasional (2) manakala Negeri Sembilan PH+BN 31 daripada 36 kerusi, PN 5.

Walaupun di Johor tidak apa-apa krisis politik biarpun ada berbalas hujah politik antara UMNO, PH dan PN termasuklah cadangan mewujudkan lima ADUN dilantik, namun Johor masih boleh dianggap paling stabil.

Melaka dikaitkan dengan PRN memandangkan tempoh DUN berakhir Disember ini. Bagaimanapun keghairahan pemimpin UMNO dan PH turun ke negeri itu baru-baru ini mengadakan aktiviti politik mewujudkan spekulasi   bahawa PRN Melaka akan diadakan dalam masa terdekat.

Pada masa sama tercetus krisis politik di Negeri Sembilan apabila Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini berkempen bersama PH dalam PRN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun .

Seramai 14 ADUN BN mengumumkan mereka hilang kepercayaan terhadap Aminuddin tetapi kekal bersama Kerajaan Perpaduan.

Justeru ada yang mencadangkan ketiga-tiga negeri itu mengadakan PRN serentak bagi menjimatkan perbelanjaan pilihan raya.

Namun begitu ramai beranggapan sekarang bukan masa terbaik untuk mengadakan PRN memandangkan rakyat sedang berhadapan krisis tenaga global. Pada masa pula Kerajan Pusat sedang berusaha mengurangkan beban rakyat dengan melakukan pelbagai langkah termasuk memberi subsidi bahan api.

Bagaimana konflik yang berlanjutan di Asia Barat akan memungkinkan negara akan berhadapan dengan tekanan ekonomi termasuklah dari segi mengekalkan subsidi pada tahap sekarang.

Oleh itu tindakan mengadakan PRN di tiga negeri pada masa ini bukan sahaja tidak wajar malah tidak bijak!

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img