Pekerja kedai kopi mengaku tidak bersalah rempuh 12 kenderaan

SEORANG pekerja kedai kopi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini, atas 14 pertuduhan termasuk melakukan khianat dengan melanggar 12 kenderaan di beberapa lokasi sekitar bandar raya, minggu lalu.

Tertuduh, Prassanndh Saravanan, 29, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi dan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 9 pagi hingga 10.20 pagi pada 30 April lalu sehingga menyebabkan kerugian keseluruhan melebihi RM10,000.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan melanggar kereta Perodua Alza, pacuan empat roda Isuzu dan kereta Totoya Alphard masing-masing melibatkan kerugian kira-kira RM700 di Jalan Tanjung Bungah dan lampu isyarat Persiaran Gurney.

Kenderaan lain yang turut dilanggar ialah Perodua Myvi di lampu isyarat Jalan Sungai Pinang dengan kerugian RM700, Perodua Axia di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (RM500) dan Proton Saga di lampu isyarat Persiaran Gurney (RM380).

Dia turut didakwa melanggar sebuah kereta Volkswagen di Jalan Pangkor dengan kerugian RM1,000, sebuah jip di Jalan Nagore (RM2,000) dan kereta Hyundai di Jalan Sungai Pinang (RM740).

Selain itu, tertuduh didakwa melanggar Proton Saga di Jalan Burma (RM500), Toyota Yaris di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (RM1,772) dan Proton X70 di Jalan Pangkor dengan kerugian RM750.

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut tidak mengaku bersalah atas satu pertuduhan menghalang tugas anggota polis berpangkat koperal di Jalan Tanjung Bungah pada tarikh sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu dan berbahaya menggunakan kereta jenis Kia Forte dari Persiaran Gurney hingga ke Jalan Tengah, Bayan Baru.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad dan Lau Shavin, manakala tertuduh diwakili peguam M Sharmila Shanthini.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM56,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Sebelum ini, tular video di media sosial memaparkan dua kereta peronda polis mengejar sebuah kereta dipandu laju sebelum melanggar beberapa kenderaan di Persiaran Gurney pada Khamis lalu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img