Jalan Bukit Bintang ditutup sempena program ‘Night Reset’ malam ini

JALAN Bukit Bintang akan ditutup secara berperingkat bermula tengah malam ini hingga awal pagi esok sempena program Quranic Madani ‘Night Reset: Bersatu Dalam Saf @ Bukit Bintang’.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, program itu dijadual berlangsung dari pukul 8.30 malam hingga 11 malam di Jalan Bukit Bintang berhampiran Pavilion Kuala Lumpur.

Menurutnya, program berkenaan dijangka menerima kehadiran ramai pengunjung dari sekitar ibu negara dan kawasan berhampiran.

“Bagi memastikan kelancaran program dan keselamatan pengguna jalan raya, beberapa penutupan serta lencongan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan semasa sepanjang acara berlangsung.

“Laluan yang terbabit adalah di Jalan Bukit Bintang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penutupan jalan bermula seawal jam 12 tengah malam ini sehingga jam 5 pagi esok sebelum dibuka semula secara berperingkat bergantung kepada keadaan lalu lintas dan situasi semasa di lokasi.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mengelakkan laluan terbabit sepanjang tempoh program berlangsung selain merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan laluan alternatif yang bersesuaian.

“Pengguna jalan raya juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, Monorel atau perkhidmatan e-hailing bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar,” ujarnya.

Tambah Mohd. Zamzuri, anggota polis trafik akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik bagi membantu melancarkan aliran trafik serta memberi panduan kepada pengguna jalan raya.

Beliau turut meminta orang ramai mematuhi arahan anggota polis trafik yang bertugas selain mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan bersabar sepanjang tempoh penutupan jalan dilaksanakan.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkaitan program dan laluan terlibat boleh diperoleh dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img