BEKAS isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, meninggal dunia pada usia 65 tahun.
Berita pemergian Allahyarhamah dikongsikan anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Nizar dalam hantaran itu menzahirkan rasa dukacita selain mengenang kasih sayang, pengorbanan dan doa yang dicurahkan ibunya sepanjang hayat.
“Terima kasih, bonda atas segala kasih sayang, pengorbanan dan doa sepanjang hayatmu. Tiada apa yang mampu membalas segala jasamu.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosamu, merahmatimu dan menempatkanmu dalam kalangan penghuni Syurga Firdaus.
“Bonda tetap hidup dalam doa dan ingatan anakanda selamanya,” katanya dalam hantaran tersebut.
Hantaran berkenaan turut disertai ucapan Al-Fatihah.
Allahyarhamah Tengku Puteri Zainah merupakan ibu kepada Nizar, Putri Norlisa dan Mohd Nazifuddin.
Terdahulu, media melaporkan keadaan kesihatan Allahyarhamah kritikal dan beliau sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).





