Dua ADUN Bersatu jalan tugas kerajaan negeri seperti biasa – Sanusi

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang dipecat parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu semalam masih menjalankan tugas masing-masing dalam pentadbiran negeri seperti biasa.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang tindakan ke atas ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis perlu mengikut proses pentadbiran kerajaan negeri selain mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

DUA ADUN Kedah Bersatu yang dipecat iaitu Abdul Razak Khamis (kiri) dan Dzowahir Ab Ghani

“Segala tindakan perlu ikut proses pentadbiran. Kita perlu bincang secara terperinci, sembah maklum kepada Tuanku Sultan dan seterusnya menjalani proses mengikut prosedur yang ditetapkan. Mereka masih menjalankan tugas (Exco negeri dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri) seperti biasa ketika ini,” kata Muhammad Sanusi hari ini.

Dzowahir adalah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri Kedah manakala Abdul Razak pula Timbalan Speaker DUN.

Muhammad Sanusi dalam pada itu berkata, kedua-dua wakil rakyat terbabit kini berstatus ADUN Bebas, namun masih menyokong pentadbiran kerajaan negeri.

“Mereka bukan pembangkang, sebaliknya ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri. Kedudukan mereka akan dibincangkan lanjut,” katanya lagi.

Beliau berkata, surat daripada Bersatu yang memohon pertukaran jawatan Exco dan Timbalan Speaker DUN Kedah sebenarnya sudah diterima sebelum ini, namun kerajaan negeri tidak mengambil tindakan kerana kedua-dua pemimpin itu masih ahli parti berkenaan ketika itu.

Katanya, perkara itu turut dibincangkan bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kubang Rotan dan Bersatu Kedah pada 10 April lalu.

“Ketika itu mereka belum dikenakan tindakan oleh parti, jadi tiada sebab untuk menukar mereka dengan individu lain. Sekarang sudah ada surat rasmi pemecatan diterima, namun tindakan tetap tertakluk kepada prosedur pelantikan Exco dan Timbalan Speaker,” katanya.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan mengeluarkan notis pemecatan terhadap Dzowahir dan Abdul Razak daripada parti itu, berkuat kuasa serta merta.

Pemecatan itu mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tata Kelakuan Ahli.

Tujuh lagi digantung keahlian selama dua penggal pemilihan parti, membabitkan lima Ahli Parlimen, masing-masing seorang dari Perak, Terengganu dan Pahang serta dua dari Kelantan, selain dua ADUN dari Perak.

Ahli Parlimen berkenaan membabitkan wakil Lumut, Nordin Ahmad Ismail; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Rompin, Abdul Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Dua ADUN pula adalah ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain dan ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man.

Selain Dzowahir dan Abdul Razak, seorang lagi yang dipecat ialah Naib Ketua Armada Nasional, Muhammad Faiz Rahmad.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img