Anwar perlu lebih cermat ulas titah Diraja – Pembangkang Pahang

KENYATAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu eksport pasir di Pahang dianggap kurang tepat dan tidak wajar apabila dikaitkan dengan titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan berkenaan seolah-olah memberi gambaran bahawa titah Diraja tidak mengambil kira realiti ekonomi secara makro.

Menurutnya, persepsi sebegini bukan sahaja tidak tepat, malah tidak mencerminkan kepekaan seorang pemimpin tertinggi negara terhadap institusi diraja dan keadaan sebenar di peringkat negeri.

“Walaupun pautan tersebut telah diturunkan, hakikatnya kenyataan itu tetap memberi gambaran yang kurang tepat.

“Sebagai Perdana Menteri, setiap kenyataan yang dikeluarkan seharusnya lebih cermat, berasaskan fakta dan mengambil kira sensitiviti terhadap institusi Diraja,” katanya hari ini, lapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, perkara yang dibangkitkan dalam titah tersebut bukan sekadar isu ekonomi, tetapi berkait rapat dengan pengurusan alam sekitar, keselamatan rakyat dan kelestarian negeri.

Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu menambah, banyak sungai di Pahang kini berdepan masalah mendapan pasir yang serius, menyebabkan sungai menjadi semakin lebar tetapi cetek.

Menurut beliau, keadaan ini meningkatkan risiko limpahan air dan banjir, khususnya ketika musim hujan.

“Justeru, kerja-kerja pengorekan dan pedalaman sungai merupakan keperluan mendesak bagi mengurangkan risiko tersebut.

“Namun, usaha ini memerlukan kos yang tinggi. Dalam konteks ini, cadangan untuk menjual pasir yang dikorek bukan sahaja langkah praktikal bagi menampung kos, malah berpotensi menambah hasil negeri secara sah dan berkesan,” katanya.

Menurut beliau, malangnya, sekatan Kerajaan Persekutuan terhadap eksport pasir telah menjejaskan usaha ini.

Katanya, tanpa saluran pasaran yang mencukupi, lambakan pasir akan terus berlaku sekali gus memburukkan lagi keadaan sungai dan meningkatkan risiko banjir pada masa hadapan.

“Oleh itu, isu ini perlu dilihat secara menyeluruh, bukan semata-mata dari sudut dasar ekonomi. Ia melibatkan hak negeri, keselamatan rakyat dan keperluan mengurus sumber secara bijaksana,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menyeru agar Kerajaan Persekutuan supaya meneliti semula dasar berkaitan sekatan eksport pasir dan memberi ruang kepada negeri seperti Pahang untuk mengurus sumbernya secara lebih efektif, selaras dengan kepentingan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Jangan hanya melihat pasir sebagai komoditi ekonomi; lihatlah ia juga sebagai isu keselamatan rakyat dan pengurusan banjir.

” Apabila suara negeri tidak didengar, rakyat akhirnya yang menanggung akibatnya” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan yang baik bukan sekadar mempertahankan dasar sedia ada, tetapi perlu bersedia mendengar, memahami serta menyesuaikan pendekatan berdasarkan realiti di lapangan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img