Alexander Nanta Linggi beri bayangan bertanding di DUN

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Kapit pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang selepas hampir 30 tahun berkhidmat di peringkat Parlimen.

Beliau yang berusia 68 tahun berkata, hasratnya itu bagi memberi peluang kepada golongan muda untuk meneruskan perjuangan parti dan membawa kepimpinan baharu di kawasan berkenaan.

“Hasrat saya menyatakan perkara ini adalah untuk memberi laluan kepada orang muda.

“Saya sudah ada rancangan (langkah seterusnya) yang disediakan sekiranya diperlukan,” katanya ketika ditemui media pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching hari ini.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan karier politik di peringkat negeri sekiranya diberi peluang serta mendapat restu kepimpinan parti.

“Mungkin kalau ada peluang di tempat baharu… saya pun teringin juga kalau ada peluang untuk berkhidmat di peringkat negeri,” katanya.

Beliau berkata, selepas hampir tiga dekad menjadi Ahli Parlimen Kapit, sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan cabaran dan tanggungjawab baharu dalam arena politik negeri.

“Ya, sebab saya dah hampir 30 tahun di Parlimen, kalau ada peluang dan direstui Yang Dipertua parti (Tan Sri Abang Johari Abang Openg) mungkin saya ingin menyambung kerjaya politik saya di peringkat negeri,” katanya.

Menurut beliau, perkara itu bagaimanapun tertakluk sepenuhnya kepada keputusan pucuk pimpinan parti termasuk Yang Dipertua parti dalam menentukan hala tuju politiknya pada masa depan.

Sementara itu, beliau turut memberi bayangan kemungkinan akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di Kapit sekiranya diberi kepercayaan oleh parti.

“Kebetulan ada kerusi DUN baharu di sana (persempadanan semula),” katanya sambil menegaskan beliau tetap komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat walau di mana sahaja ditempatkan kelak.

Nanta Linggi merupakan cucu pemimpin ulung masyarakat Dayak, Tun Temenggong Jugah Barieng menjadi Ahli Parlimen Kapit selama 27 tahun sejak 1999.

Beliau menyandang kawasan itu selama enam penggal termasuk menang tanpa bertanding pada PRU-11 dan PRU-12. Beliau menyertai Kabinet Persekutuan sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2013.

Pada 2021, beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Kerja Raya pada Disember 2022 hingga kini.

Beliau juga pernah memangku jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selama dua minggu pada 3 Disember hingga 16 Disember 2025.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img