DATUK Seri Anwar Ibrahim mahu prestasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi di Kudat dipertingkat supaya sekolah di pulau terpencil itu menjadi contoh kecemerlangan pendidikan luar bandar serta pusat pembangunan modal insan.
Menurut Perdana Menteri, anak-anak di Pulau Banggi meskipun tinggal di kawasan paling terpencil boleh berjaya sekiranya diberi tumpuan serius dalam pendidikan.
Anwar berkata, pendidikan berkualiti bukan sahaja mampu mengubah kehidupan pelajar daripada keluarga miskin, malah membolehkan mereka menyumbang kepada keluarga dan masyarakat setempat.
“Pulau Banggi ini antara rantau pulau yang paling terpencil dalam seluruh wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Kita harus beri tumpuan, dan saya minta ibu bapa beri tumpuan kerana anak dari keluarga yang paling miskin, dari pulau paling terpencil, tetapi kalau ditumpukan bidang pendidikan, dia boleh naik kerana mutu pendidikan yang diperoleh dan memberi sumbangan kepada keluarga dan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat di Pulau Banggi di Kudat hari ini.
Anwar dalam pada itu berkata, lawatannya ke SMK Banggi mengimbau kenangan pada 1994 ketika beliau selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan meletakkan batu asas pembinaan sekolah berkenaan.
Beliau berkata, sekolah itu kini tersergam indah, telah melahirkan anak-anak yang terlatih serta terdidik, selain menyediakan pendidikan tingkatan enam atau prauniversiti di Pulau Banggi.
Perdana Menteri turut meminta pengetua SMK Banggi, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pengarah Pendidikan Sabah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah menyediakan laporan mengenai langkah tambahan bagi meningkatkan prestasi sekolah itu, dalam tempoh dua minggu.
Anwar berkata, kerajaan bersedia meneliti keperluan tambahan SMK Banggi, namun pihak sekolah juga perlu menetapkan sasaran jelas bagi memastikan pencapaian pelajar meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, sebarang keperluan tambahan boleh dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan supaya sekolah itu tidak berdepan kekurangan kemudahan asas yang boleh menjejaskan usaha meningkatkan pencapaian pelajar.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan pemimpin dan penjawat amanah supaya menggunakan kedudukan masing-masing untuk membela nasib rakyat, bukan mengejar kepentingan peribadi.
Beliau berkata jawatan yang diberikan amanah dan tanggungjawab besar, bukannya keistimewaan untuk merebut habuan atau kekayaan.
“Negara ini, negeri ini, hancur atau lemah kerana bila ada jawatan rebut habuan. Ada kemewahan tetapi tidak pernah cukup, rebut untuk diri mereka.
“Amanah ini kita lakukan untuk jaga kepentingan negeri dan jaga kepentingan rakyat termasuk yang paling susah dan miskin di negara kita,” katanya.


