SEORANG penunggang motosikal maut selepas tercampak ke laluan bertentangan sebelum digilis sebuah treler dalam kemalangan tiga buah kenderaan di Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu, berhampiran Kampung Gerai di Besut hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Faris Harun, 33, yang menunggang motosikal jenis Demak EVO meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Viva dipandu seorang lelaki berhenti di simpang tiga untuk membelok ke kanan.
“Motosikal yang ditunggang mangsa dari arah belakang dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta berkenaan.
“Mangsa kemudian tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah treler kontena jenis Mercedes-Benz yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rozaime berkata, pemandu kereta dan pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa yang beralamat di Kampung Telaga Nibong, Jertih dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat dan hasil laporan mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan parah pada kepala,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


