Saya akan terus menyumbang bakti kepada negara tapi bukan dalam politik – Azam Baki

PESURUHJAYA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini memberi bayangan beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat walaupun bakal menamatkan perkhidmatan secara rasmi mulai esok.

Meski pun tidak mendedahkan ke mana hala tujunya selepas ini, Azam bagaimanapun berkata, beliau tidak akan menjadi ahli politik, tetapi SPRM akan menjadi sebahagian daripada radar pemerhatiannya.

“Saya orang lelaki yang tetap akan bekerja sehingga satu hari dia dikerandakan dalam masjid. Ya, faham-fahamlah maksud itu.

“Saya akan bekerja menyumbang apa yang saya boleh kepada negara, kepada rakyat kerana perkara ini satu kepuasan kepada diri,” katanya dalam Podcast Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi oleh SPRM yang disiarkan di YouTube hari ini.

Menurut Azam, SPRM akan diperhati dan ditegur untuk kebaikan jika perlu untuknya berbuat demikian.

“Saya tidak akan marah pun (tindakan SPRM yang tidak dipersetujuinya), tetapi jika sudah sampai masa mungkin saya nak bersuara, saya juga akan bersuara dengan memberi pandangan yang baik serta membina.

“Selepas saya bersara, jika perlukan perkongsian pengalaman terutama rakan saya daripada SPRM ini, anak buah saya yang perlukan nasihat, saya sentiasa sedia menyumbang. Saya juga senang, jika anda tanya, saya akan jawab,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya hos adakah beliau akan berkecimpung dalam dunia politik atau menjadi seorang ahli perniagaan, Azam menyifatkan perkara itu tidak akan berlaku.

“(Masuk) politik itu jauh sekali, sebab politik bukan bidang saya. Perniagaan pun tidak, saya tidak pandai berniaga. Tetapi yang penting ialah bagaimana kita menguruskan dunia ini.

“Bila saya kata uruskan dunia ini, (maksudnya) uruskan dengan berhemah dan lebih baik, jadi orang berguna kepada masyarakat, diri sendiri dan keluarga. Jika kamu menjadi manusia yang tidak berfungsi langsung ia umpama mayat hidup,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img