SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan pertuduhan terhadap dua individu berhubung siasatan membabitkan urus niaga pelaburan semikonduktor bernilai RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings Plc (ARM).
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini di peringkat akhir melengkapkan kertas siasatan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat.
“Setakat ini, pihak kami sudah merakam keterangan 22 saksi termasuk penganalisis politik, James Chai dan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Siasatan kini hampir pada peringkat akhir. Pada masa ini, hanya tinggal dua lagi saksi yang perlu dirakam keterangan, seorang di Taiwan dan seorang lagi (berada) di dalam negara,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Azam bagaimanapun enggan mendedahkan identiti dua individu yang dicadang dikenakan pertuduhan itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan salah guna kuasa, Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu serta Seksyen 409 Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah jenayah.
“Kami menjangka kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
“Selepas itu, terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan sama ada terdapat kes untuk pendakwaan atau sebaliknya.
“Pada peringkat ini, kami sudah mengenal pasti dua individu yang akan dicadangkan untuk didakwa di mahkamah, namun saya tidak mengatakan mereka pasti akan didakwa.
“Penyiasat boleh mencadangkan pertuduhan jika bukti memenuhi elemen di bawah undang-undang, tetapi keputusan muktamad terletak pada Peguam Negara,” katanya.
Ditanya sama ada dua individu itu ialah James Chai dan Rafizi, Azam sekali lagi enggan mengulas.
Beliau berkata, pegawai SPRM memberi tumpuan sepenuhnya untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kes berkenaan.
“Pegawai saya sedang meneliti unsur jenayah. Jika terdapat bukti, terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan lanjut,” katanya.


