AKSI berbahaya sekumpulan penunggang motosikal melakukan ‘wheelie’ dan berlumba di jalan raya akhirnya memakan diri apabila tiga remaja tempatan diberkas polis dalam operasi khas di sekitar bandar Kuala Lipis, semalam.
Tangkapan dilakukan susulan video tular berdurasi 22 saat di Facebook yang memaparkan beberapa penunggang motosikal menunggang secara melulu dan mengangkat tayar hadapan ketika melalui Kilometer 4 Jalan Lipis-Felda Kechau berhampiran Hotel Star Well.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, pihaknya mengesan video berkenaan dimuat naik pada 5 Mei lalu sebelum Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Lipis menjalankan Op Samseng Jalanan pada 10 Mei.
Menurutnya, operasi membabitkan dua pegawai dan enam anggota itu berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 19 dan 20 tahun serta menyita tiga motosikal.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan kerana tindakan itu bukan sahaja melanggar undang-undang malah membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti berbahaya itu diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis.


