SEORANG pekerja kilang warga Nepal dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul rakan senegaranya hingga cedera parah dalam kejadian di asrama pekerja, bulan lalu.
Tertuduh, Bikash Giri, 30, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap lelaki warga Nepal berusia 47 tahun menggunakan sebatang besi di asrama pekerja Taman Megah, kira-kira jam 6.30 petang pada 8 April lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa mengalami kecederaan parah pada lengan kanan serta belakang kepala selain patah tangan kanan akibat dipukul tertuduh.
Susulan kejadian, tertuduh ditahan pada jam 1.30 tengah hari keesokan harinya dan polis turut merampas sebatang besi sepanjang 24 sentimeter dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Hasil siasatan mendapati pergaduhan tercetus selepas mangsa berang apabila seorang rakan tertuduh menyapu bilik hingga mengganggu tidur dan rehatnya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh.


