SEORANG juruwang warga Bangladesh ditahan polis selepas disyaki menyalahgunakan nombor MyKad milik seorang peniaga di Selangor untuk mendapatkan subsidi minyak RON95 menerusi program BUDI MADANI.
Suspek berusia 34 tahun yang bekerja di sebuah stesen minyak di Kupang ditahan semalam susulan laporan dibuat mangsa selepas mendapati kuota subsidi minyak miliknya lesap.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, pengadu berusia 57 tahun menyedari perkara itu ketika membuat semakan melalui aplikasi di sebuah stesen minyak di Setia Alam, Shah Alam pada 8 April lalu.
Menurutnya, hasil semakan mendapati terdapat transaksi pengisian minyak subsidi RON95 menggunakan nombor MyKad pengadu di sebuah stesen minyak di Padang Lengkuas, Kupang.
“Siasatan mendapati bermula 18 Mac hingga 8 April lalu, sebanyak enam transaksi pengisian minyak direkodkan menggunakan nombor kad pengenalan pengadu membabitkan 309.038 liter minyak.
“Kerugian dianggarkan berjumlah RM1,242.33,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati terdapat pembabitan individu warga tempatan yang kini masih dikesan bagi membantu siasatan.
Katanya, permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama empat hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.


