Pemain tidak ternama Israel tumpaskan Zii Jia di Terbuka Thailand

HASRAT pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia, untuk kembali berada pada prestasi terbaik terus menerima tamparan apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Thailand selepas tewas kepada pemain Israel yang kurang dikenali, Daniil Dubovenko.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nimibitr, Bangkok, pemain ranking ke-67 dunia itu kecundang 20-22, 10-21 dalam tempoh 38 minit. Kekalahan tersebut menyaksikan Zii Jia tersingkir pada pusingan pertama buat kali keempat daripada tujuh kejohanan BWF yang disertainya sepanjang tahun ini.

Prestasi Zii Jia dilihat kurang meyakinkan, terutama pada set kedua apabila beliau gagal mengekalkan momentum selepas memberi saingan sengit pada set pertama. Malah, beliau sempat berada di kedudukan game point sebelum lawannya bangkit memenangi set tersebut.

Sebelum itu, dalam aksi kelayakan semalam, bekas pemain nombor satu negara berkenaan turut dipaksa bekerja keras untuk menewaskan pemain tanpa ranking dunia.

Setakat musim ini, bekas juara All England itu hanya mampu mara ke peringkat suku akhir dalam dua kejohanan bertaraf lebih rendah di bawah Jelajah Dunia Super 300, manakala Terbuka Thailand pula merupakan kejohanan kategori Super 500.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara perseorangan wanita turut berakhir awal apabila satu-satunya wakil negara, Goh Jin Wei, tewas kepada pemain muda Thailand, Yataweemin Ketklieng. Jin Wei menang set pertama 21-13, namun gagal mengekalkan rentak sebelum kalah 19-21, 16-21 dalam pertarungan selama satu jam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img