SEORANG lelaki warga tempatan berusia 65 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori yang dipercayai masuk simpang secara cuai di Jalan Desa Serdang, Seri Kembangan, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam.
Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave 125cc berwarna merah dipercayai datang dari arah bertentangan sebelum gagal mengelak sebuah motolori jenis bonded berwarna putih yang keluar masuk simpang dari jalan utama.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori tersebut masuk simpang dari jalan utama secara cuai.
“Penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan bergesel dengan lori tersebut sebelum terjatuh di atas jalan.
“Mangsa hanya dijumpai oleh orang awam selepas kejadian dan dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di hospital pada keesokan hari akibat kecederaan parah di kepala (Severe Traumatic Brain Injury).
Menurutnya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kilang berhampiran mengesahkan berlaku pelanggaran antara motosikal dan lori terbabit.
“Bagaimanapun nombor pendaftaran lori tidak dapat dikenal pasti dengan jelas dan pihak polis kini sedang mengesan pemandunya bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.


