SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori yang berhenti di lorong kecemasan akibat tayar pecah dalam kejadian di Kilometer 31.8 Lebuhraya Shah Alam (KESAS), kelmarin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 12.10 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian membabitkan sebuah motosikal dan lori yang berada di laluan dari Subang menuju ke Klang.
“Ketika kejadian, lori berkenaan berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan tayar.
“Bagaimanapun, sebuah motosikal yang ditunggang lelaki Melayu berusia lingkungan 40-an dari arah sama telah melanggar bahagian kanan belakang lori tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354,” katanya.


