UMNO kekal komited teruskan perjuangan, pertahan asas pembentukan negara

SAMBUTAN Ulang Tahun UMNO ke-80 yang berlangsung di Istana Besar Johor hari ini  bukan sekadar mengimbau sejarah perjuangan lampau, tetapi peringatan bahawa kekuatan sesebuah bangsa terletak pada kesatuan rakyat, kestabilan negara dan kesetiaan kepada institusi Raja Melayu sebagai payung negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, selepas lapan dekad, UMNO kekal komited meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air serta mempertahankan asas utama yang membentuk negara ini.

“UMNO turut merafak sembah menjunjung kasih atas naungan, kebijaksanaan dan keprihatinan institusi Raja Melayu yang sentiasa menjadi tonggak perpaduan, kestabilan serta kesejahteraan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pagi ini, sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 mencipta sejarah tersendiri apabila diraikan di tempat ‘kelahiran’ parti itu di Istana Besar Johor.

Sambutan bersejarah itu cukup simbolik apabila diadakan di Johor, lokasi bersejarah yang menjadi saksi kelahiran parti itu pada 11 Mei 1946.

Ia sekali gus merealisasikan hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan sambutan di istana berkenaan pada sambutan kali ini.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang hadir bagi memperingati detik bersejarah penubuhan UMNO di Johor pada 11 Mei 1946.

Beliau berkata, parti juga berterima kasih kepada baginda kerana membenarkan sesi fotografi rasmi diadakan di Tangga Agung Istana Besar Johor, lokasi bersejarah yang menjadi saksi penyatuan orang Melayu dalam mempertahankan agama, bangsa, tanah air serta kedaulatan Raja Melayu.

“Daripada semangat perjuangan dan penyatuan itulah lahirnya UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa yang kemudian menjadi tunjang utama kepada kemerdekaan serta pembentukan negara berdaulat,” katanya.

Menyentuh pendaftaran ahli baharu parti secara dalam talian, Asyraf Wajdi berkata, selepas 20 hari dilancarkan, ia sudah mencecah 16,867 ahli dengan 71 peratus daripadanya golongan muda.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img