Rotan, tarik rambut budak 8 tahun gara-gara enggan makan

SEORANG penjual ikan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini selepas mengaku bersalah menganiaya anak perempuan teman wanitanya berusia lapan tahun dengan merotan serta menarik rambut mangsa kerana enggan menghabiskan makanan.

Tertuduh, Kenneth Ong Peng Quan, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,000.

Selain itu, Kenneth turut diarahkan melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan.

Berdasarkan fakta kes, lelaki terbabit didakwa menganiaya kanak-kanak perempuan itu di sebuah rumah di Kampung Merdeka, Batu Pahat, antara Februari hingga September tahun lalu.

Kes terbongkar selepas bapa mangsa berusia 41 tahun menyedari terdapat kesan luka dan lebam pada badan anaknya ketika mengambil kanak-kanak itu dari sebuah tadika sebelum membuat laporan polis.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pada jam 9.30 malam 10 September lalu, sepasukan polis menahan tertuduh di sebuah rumah dan ketika dibawa ke rumah lain di Kampung Merdeka, ibu mangsa yang mendiami kediaman itu bersama tertuduh mengeluarkan dua rotan bersaiz 53 dan 72 sentimeter (sm) dipercayai digunakan memukul mangsa.

Siasatan mendapati ibu bapa kanak-kanak itu sudah bercerai pada November 2024 dan mangsa tinggal bersama ibunya serta tertuduh.

Kanak-kanak itu mendakwa dia dipukul menggunakan rotan dan tangan selain rambutnya ditarik kerana tidak mahu makan dan gagal menghabiskan makanan diberikan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img