Mengaku salah khalwat kali kedua, dua individu dihukum sebat, denda

SEORANG  pembantu kedai makan dan  seorang wanita masing-masing dijatuhi hukuman tiga sebatan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kesalahan khalwat buat kali kedua pada Januari lalu.

​Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof memerintahkan hukuman tersebut dilaksanakan di Penjara Marang pada jam 10 pagi, 7 Jun depan selepas tamat tempoh 14 hari rayuan.

​Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara selama empat bulan sekiranya kedua-dua tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

​Mengikut pertuduhan, Muhammad Shazmel Aqimie Razalee, 26, dan pasangannya, Tengku Nur Fariesha Ulani Tengku Ahmad Farek, 24, didapati melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Kerteh, Kemaman kira-kira jam 3.15 pagi pada 15 Januari 2026, lapor Sinar Harian.

​Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2021.

​Pasangan tersebut ditangkap dalam satu serbuan dan pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai hubungan mahram atau dokumen perkahwinan yang sah.

​Nik Mohd Shahril dalam penghakimannya menyifatkan, kes tersebut sebagai amat serius kerana ia merupakan kesalahan berulang yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh.

​Sebelum ini, pasangan tersebut pernah ditangkap bagi kesalahan sama pada Januari 2025 dan pada 13 Mei 2025, Mahkamah Rendah Syariah Kemaman telah menjatuhi hukuman denda RM2,600 atau tiga bulan penjara terhadap Muhammad Shazmel, manakala Tengku Nur Fariesha didenda RM2,500 atau dua bulan penjara.

​”Kes ini amat serius kerana melibatkan kesalahan berulang yang mana sebelum ini tertuduh pernah disabitkan bersalah dan dihukum,” katanya.

​Terdahulu, Muhammad Shazmel Aqimie yang bekerja sebagai pembantu kedai makan merayu agar hukuman dikurangkan atas alasan dia merupakan anak keenam daripada enam beradik.

​Manakala, Tengku Nur Fariesha Ulani yang bekerja sebagai barista atau pembancuh kopi merayu pengurangan hukuman kerana merupakan anak sulung daripada enam beradik dan perlu menanggung ibu serta adik-beradik selepas kematian bapanya.

​Mahkamah bagaimanapun mengekalkan hukuman tersebut sebagai pengajaran sebelum membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh pelaksanaan hukuman.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img